Tuesday, June 25, 2024
HomeSEPAK TAKRAWSepak Takraw: Sejarah Yang Pernah Tercipta

Sepak Takraw: Sejarah Yang Pernah Tercipta

Beberapa hari yang lalu, skuad Sepak Takraw negara baru sahaja dinobatkan sebagai naib juara Piala Dunia ISTAF. Pasukan negara masih lagi gagal memecah dominasi Thailand selaku kuasa besar Sepak Takraw dunia.

Penulis ingin menyingkap serba sedikit sejarah kegemilangan Sepak Takraw negara yang mana pada satu ketika dulu ianya merupakan kenangan manis dalam sejarah sukan negara. Ianya bukan sekadar ‘cerita kedai kopi’ atau ‘bual kosong’ yang perlu dijaja 5 suka-suka. Malahan ianya sejarah sukan negara yang harus dijadikan titik tolak kebangkitan sepak takraw negara.

Sejarah Awal

Sepak Takraw sukan yang cukup sinonim dengan masyarakat melayu. Sejarah menceritakan permainan yang kian popular ini bermula daripada sepak raga bulatan yang menjadi permainan orang melayu semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Hamid Mydin adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan sepak raga gaya moden yang sebelum itu dikenali sebagai sepak raga jaring. Bermula dengan hanya melukis gelanggang dengan menggunakan kapur tulis maka bermulalah era sepak raga jaring pada tahun 1946 di Jalan Patani, Pulau Pinang.
Era Sepak Raga Moden Berkembang
Kisah bermula dengan inisiatif Persatuan Sepak Raga Pulau Pinang menganjurkan persidangan wakil negeri dibawah Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1960, maka tertubuhlah Persatuan Sepak Raga Malaya ketika itu.

Piala Emas Khir Johari menjadi kejohanan pertama yang mempertandingkan sepak raga jaring sekitar tahun 1962. Stadium Negara, Kuala Lumpur menjadi saksi kejohanan yang julung kali diadakan itu.

Hasil usaha gigih kepimpinan Persatuan Sepak Raga Malaya/Malaysia, sepak raga jaring mula dipertandingkan dalam Sukan SEAP 1965 yang mana Malaysia menjadi tuan rumah. Disinilah berubahnya nama sepak raga jaring kepada sepak takraw. Disini juga pingat emas pertama sukan Sukan SEAP berjaya dirangkul Malaysia.
Penguasaan di Sukan SEA

Semenjak ianya dipertandingkan, Malaysia menjadi kuasa besar dalam acara itu dan mengekalkan dominasi selaku pemenang pingat emas dalam temasya dwi tahunan itu. Bermula Sukan SEAP, Kuala Lumpur 1971 sehinggalah Sukan SEA Singapura 1983, Malaysia tidak pernah tidak membawa pulang pingat emas.

Antara nama-nama lagenda sepak takraw yang terhasil ketika itu adalah Adnan Saidin (killer), Kamarudin Salleh (tekong), Md Noor Hj. Ali (killer), Mohd Nor Osman (feeder), Jamal Din (tekong), Marzuki Daud (killer) dan ramai lagi nama yang mengharumkan nama negara dalam arena sepak takraw negara.

Kredit Gambar : The Malaysian Insight

Era Kejatuhan

Kemerosotan sepak takraw negara mula merudum setelah kali terakhir memperolehi pingat emas acara berpasukan pada Sukan SEA Manila 1991. Selepas itu Thailand merampas takhta sebagai kuasa besar sepak takraw antarabangsa.

Skuad negara pernah dimalukan oleh Korea dalam Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di New Delhi, India. Selain itu skuad negara juga pernah dimalukan dalam Sukan SEA 2013.

Keadaan Semasa

Pelbagai inisiatif dilakukan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam memartabatkan semula sukan sepak takraw negara. Penganjuran “Sepak Takraw League” semenjak 2015 menjadi medan untuk mencungkil lebih banyak lagi bakat-bakat muda.

Di kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur yang lalu, skuad sepak takraw negara masih gagal merebut emas dalam acara berpasukan. Walau 1 pingat emas berjaya dirangkul dalam acara regu kemanisan kejayaan itu kurang terasa tanpa kehadiran seteru utama Thailand.

Harapan penulis, kegemilangan sepak takraw negara dapat dibangkitkan semula. Akhir kata,

Kredit Gambar : Youtube

Satu ketika dahulu kitalah jaguhnya,
Menjadi pasukan pelopor utama,
Kejatuhan lalu itu kisahnya,
Ayuhlah semua kita bangkit bersama.

Baca Juga : Sepak Takraw: Malaysia Naib Juara Piala Dunia ISTAF

Rujukan:
http://hamidmydin.blogspot.my/
http://www.utusan.com.my/rencana/sudah-lama-sepak-takraw-ditangisi-1.4438
http://www.mstar.com.my/sukan/sukan-ekstra/2017/07/10/emas-takraw/

 

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments