Friday, June 21, 2024
HomeUncategorizedAFC B-23: Penilaian Persembahan Pemain Malaysia Menentang Iraq

AFC B-23: Penilaian Persembahan Pemain Malaysia Menentang Iraq

Semalam berlangsungnya perlawanan pertama buat Malaysia dalam Kejohanan Piala AFC Bawah 23. Keputusan ternyata tidak memihak kepada anak-anak buah Ong Kim Swee apabila tewas 1-4 dalam perlawanan tersebut.

Berikut kami bawakan nilai persembahan pemain-pemain Malaysia menurut pandangan kami di Sportivo.

Ifwat Akmal – 5.5

Image may contain: one or more people, people playing sports and outdoor

Bolos empat gol bukanlah sesuatu yang baik untuk seorang penjaga gol. Dalam perlawanan semalam kelemahan barisan pertahanan gagal ditampung Ifwat dalam usaha mempertahankan gol. Beliau dilihat kurang bertindak balas ketika melepaskan gol kedua Amjed Attwan.

Walaubagaimanapun beberapa tindakan refleks pantas Ifwat berjaya menyelamatkan empat percubaan bahaya. Tindakan beliau menyelamatkan bola yang tertampan oleh Irfan Zakaria menunjukkan beliau mempunyai refleks yang baik.

Irfan Zakaria – 5

Sama seperti Adam, Irfan gagal memerhati kedudukan penyerang lawan ketika gol pertama Iraq dijaringkan. Gandingan beliau bersama Adam juga dilihat kurang sefahaman dan tidak seperti ketika kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Irfan hampir melakuan jaringan ke gawang sendiri ketika cuba membuat “clearance” dalam minit ke-65. Mujur tindakan pantas Ifwat menyelamatkan keadaan. Beliau juga dilihat mudah diperdaya bahagian serangan Iraq untuk mereka masuk ke kawasan kotak penalti.

Dominic Tan – 4.5

Dominic dilihat agak longgar di sebelah kanan. Iraq banyak menggunakan bahagian yang dikawal Dominic untuk melakukan serangan. Dominic beberapa kali dilihat melepaskan pemain Iraq di bahagian “half space”.

Kawalan bola Dominic juga dilihat begitu lemah berikutan sering kehilangan bola. Beberapa hantaran kurang tepat menjadi punca Malaysia kehilangan bola.

Adam Nor Azlin – 5

Image may contain: 2 people, people smiling, people playing sports, outdoor and text

Diturunkan selaku kapten menjadi tugas berat buat Adam. Beberapa kesilapan dibahagian pertahanan tidak seharusnya berlaku. Beliau agak lambat turun ketika Iraq menjaringkan gol pertama. Larian yang dibuat ketika turun ke bawah juga dilakukan tanpa menyedari kedudukan penyerang lawan. Akibatnya Farhan Shakor mudah melakukan tandukan untuk gol pertama Iraq.

Adam juga gagal mengawal Amjed Attwan yang berrgerak pantas dalam kotak penalti untuk gol kedua Iraq.

Norazam Azih – 5.5

Bertindak selaku perancang Norazam Azih gagal merencana gerakan-gerakan berbahaya untuk disudahkan bahagian serangan. Beberapa kesilapan mudah dalam melakukan hantaran menjadi punca kehilangan bola dibahagian tengah.

Gol ke-4 Iraq jelas berpunca daripada kesilapan Norazam yang cuba melakukan hantaran ke belakang kepada Irfan Zakaria tanpa melihat kedudukan Hussein Ali yang mudah memintas bola tersebut sebelum menewaskan Ifwat.

Daniel Amier – 5

Diberi tugasan selaku “pivot” Daniel seharusnya menghubungkan bahagian pertahanan dengan serangan. Daniel gagal menjalankan tugas tersebut dengan baik apabila fungsi beliau agak tenggelam.

Ternyata bahagian tengah mudah dilepasi pemain Iraq dan Daniel gagal dalam membantu bahagian pertahanan mahupun menjana serangan. Ketiadaan Syameer Kutty Abba dalam kesebelasan utama gagal ditampung Daniel.

Matthew Davies – 6

Matthew Davis

Matthew dilihat lebih banyak membantu bahagian serangan. Beberapa percubaan melepaskan bola masuk berjaya dilakukan Matthew. Kehadiran beliau mambantu serangan serba sedikit dapat mengucar kacirkan pertahanan Iraq.

Walaubagaimanapun Matthew gagal membantu bahagian pertahanan dengan baik. Walau diletakkan dibahagian sayap, Matthew seharusnya turut membantu bahagian pertahanan.

Syazwan Andik -5

Kurang berkesan dibahagian sayap kiri dan tidak banyak membantu bahagian serangan dan sering kehilangan bola. Kesilapan beliau dalam melakukan “clearance” menjadi punca utama gol kedua Iraq.

Syazwan juga dilihat kurang melakukan larian di bahagian kiri untuk membantu bahagian serangan. Safawi Rasid kurang mendapat sokongan beliau ketika serangan dilakukan.

N. Thanabalan – 4

Kehadiran Thanabalan di dalam perlawanan malam tadi tidak disedari. beliau kurang mendapatkan bola dan gagal melakukan serangan. Matthew Davies lebih menyerlah di bahagian kanan dan menenggelamkan permainan  Thanabalan. Thanabalan mudah kehilangan bola dan gagal melakukan “connection” dengan bahagian tengah.

Jaffri Firdaus Chew – 5

Image may contain: 2 people, people smiling, people playing sports, text and outdoor

Tidak banyak dapat dilakukan Jaffri dibahagian serangan. Beliau kurang mendapat bola berikutan kegagalan mencari ruang yang lebih baik. Jaffri hanya mempunyai satu percubaan dalam perlawanan ini. Beliau seharusnya memperbaiki “connection” dengan bahagian tengah dan lebih bijak mencari ruang.

Safawi Rasid – 6

Safawi Rasid

Safawi berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan ini. Gerakan beliau bersama Akhyar berjaya menghasilkan peluang. Beliau bijak mencari sudut yang tepat untuk menewaskan Ahmed Basil. Beberapa percubaan beliau berjaya meresahkan kem pertahanan Iraq. Larian ke dalam kotak penalti beliau mampu membelah pertahanan lawan.

Walaubagaimanapun Safawi di lihat agak mementingkan diri sendiri dan gagal melakukan “connection” yang baik dengan pemain lain. Beberapa percubaan beliau masuk ke dalam kotak penalti gagal berikutan tidak menggunakan rakan-rakan yang berhampiran.

Akhyar Rashid – 6 (Pemain Gantian)

Masuk pada minit ke-60, Akhyar Rashid menggantikan Thanabalan yang gagal menyerlah dalam perlawanan ini. Kemasukan beliau dilihat sebagai “game changer”. Walaupun masuk berbaki 30 minit perlawanan, Akhyar mampu mengubah corak permainan.

Selain daripada satu bantuan gol, Akhyar mempunyai satu peluang untuk menjaringkan gol dan mencipta ruang untuk pemain lain. Kemasukan beliau dilihat satu keputusan yang tepat.

Kesimpulan

Skuad Harimau Muda gagal bergerak sebagai satu unit ketika bertahan mahupun melakukan serangan. Barisan pertahanan mudah pecah dan kelihatan agak panik memudahkan Iraq mengatur serangan.

Gerakan Malaysia banyak mengharapkan bahagian sayap yang sukar ditembusi. Tiada perancangan yang istimewa untuk Malaysia mampu menembuskan pertahanan Iraq.

Diharapkan Datuk Ong Kim Swee dapat memperbaiki segala kelemahan dalam perlawanan ini. Malaysia dijadual menentang Jordan dalam perlawanan kedua Kumpulan C pada 13 Januari. Malaysia perlu mencatatkan kemenangan untuk menghidupkan peluang untuk ke suku akhir.

Baca juga: AFC B-23 : Malaysia Gagal Tampung Kekuatan Iraq

RELATED ARTICLES

1 COMMENT

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments