Tuesday, June 25, 2024
HomeBADMINTON3 Faktor Lee Zii Jia Merupakan Pengganti Terbaik Dato Lee Chong Wei

3 Faktor Lee Zii Jia Merupakan Pengganti Terbaik Dato Lee Chong Wei

Setelah hampir 10 tahun Dato Lee Chong Wei bermaharajalela sebagai pemain perseorangan nombor 1 negara kini kita masih tercari-cari siapa bakal pengganti beliau.

Tidak dinafikan kita pasti sukar untuk mencari pengganti beliau yang sangat berdedikasi ketika di dalam latihan sehingga menjadi pemain paling lama menduduki ranking nombor 1 dunia.

Kehebatan beliau memenangi pelbagai kejohanan bermula dari kejohanan bertaraf tempatan sehingga memenangi pingat perak untuk Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Tidak lupa juga beliau pernah membantu pasukan Malaysia mendapat tempat kedua di dalam Piala Thomas sebelum tumpas kepada Jepun pada masa itu.

Sehingga hari ini pelbagai cara telah dilakukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mencari pengganti beliau yang kini mencecah umur 35 tahun!

Beberapa pemain sebelum ini yang menampakkan potensi cuba menggantikan tempat beliau tetapi nampaknya telah malap.

Tetapi bagi kami ada seorang pemain muda yang meningkat naik dengan matang nya yang kami yakin boleh menggantikan Dato Lee Chong Wei suatu hari nanti.

Nama Lee Zii Jia mungkin agak asing bagi peminat badminton tanah air, tetapi bagi kami beliau telah mula menunjukkan potensi sejak dari zaman remaja lagi.

Walaupun sekadar memenangi pingat gangsa Kejohanan Dunia Remaja pada tahun 2016 yang lepas selepas tewas kepada pemain Indonesia tetapi potensi beliau sangat tinggi.

Pada tahun ini beliau telah memenangi kejohanan Cabaran Antarabangsa Poland yang bertaraf 2 bintang dengan menewaskan rakan senegara, Soong Joo Ven.

Pemuda yang berusia 19 tahun ini dan berasal dari Kedah dengan ketinggian 186 cm ini mempunyai ciri fizikal yang baik seperti pemain China, Chen Long dan Denmar, Vixtor Axelsen yang telah memenangi Kejohanan Dunia di Glasgow pada tahun ini.

Dengan rekod permainan sebanyak 142 perlawanan yang beliau telah tempuh, beliau telah memenangi 104 perlawanan dan hanya tewas 38 perlawanan sahaja.

Bagi kami ini sangat baik untuk perkembangan permainan beliau untuk menjadikan beliau lebih matang di masa hadapan.

Jadi kami senaraikan 3 sebab utama mengapa LEE ZII JIA adalah pengganti Dato Lee Chong Wei

Bentuk Fizikal Ideal Sebagai Pemain Perseorangan

Ini merupakan ciri pertama yang kami perhatikan semasa memilih beliau sebagai pemain untuk menggantikan Dato Lee Chong Wei.

Bentuk fizikal beliau persis seperti Chen Long jaguh China yang telah memenangi pingat emas di Sukan Olimpik RIO 2016 dan Vixtor Axelsen yang telah memenangi Kejohanan Dunia pada tahun ini yang berlangsung di Glasgow.

Dengan ciri fizikal seperti ini beliau akan mempunyai jangkauan yang lebih jauh untuk menyambut pukulan menyerang dari pihak lawan dan juga beliau mampu memukul shuttle lebih awal jika bola tinggi diberikan.

Selain itu beliau juga mudah untuk bergerak ke segenap sudut gelanggang bagi mengelakkan pihak lawan mendapat mata untuk memenangi perlawanan.

Corak Permainan Yang Tenang Dan Menyerang

Lee Zii Jia juga mempunyai corak permainan yang sangat baik bagi kami pada usia beliau yang sangat muda.

Beberapa minggu lepas beliau telah layak sehingga ke peringkat separuh akhir untuk kejohanan bertaraf 3 bintang Grand Prix Gold Bitburger di Jerman.

Beliau menewaskan beberapa jaguhan dunia seperti Qiao Bin dari China yang merupakan perseorangan ke lima terbaik China di belakang Shi Yuqi, Lin Dan, Chen Long dan Tian Houwei.

Beliau juga mempunyai pukulan smash yang baik dan pukulan pancung yang sangat tajam.

Kemampuan beliau mengambil bola lebih awal ketika bola tinggi merupakan aset strategi permainan terbaik beliau.

Ketika bertahan pula kawalan gelanggang dan pergerakan kaki beliau sangat mengagumkan berbanding dengan umurnya.

Perkembangan Permainan dan Dato’ Misbun Sidek

Sejajar dengan umurnya beliau dalam landasan yang betul untuk dibentuk menjadi pemain terbaik dunia satu masa nanti.

Dengan lantikan Dato’ Misbun Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan negara di BAM buat ketika ini menguatkan lagi andaian kami Lee Zii Jia adalah bintang yang sedang digilap.

Pemain ini dilihat mampu memberikan saingan yang baik sebelum tewas kepada pemain ranking teratas dunia dalam beberapa kejohanan yang lepas.

Seiring dengan umur nya permainan beliau juga semakin matang dari sehari ke sehari.Tidak gopoh dan menyusun permainan dengan baik sebelum mendapatkan mata.

Perkembangan ranking nya juga sangat baik untuk tahun ini kerana pada Januari 2017 beliau berada di ranking 240 dunia dan sekarang beliau berada di ranking 46 dunia berdasarkan ranking Badminton World Federation (BWF)

Kesimpulan

Berdasarkan 3 faktor di atas kami harap anda semua boleh terima pendapat kami ini buat masa ini.

Tiada lagi pemain yang menunjukkan prestasi yang lebih baik selain beliau buat masa ini.

Jika dulu Iskandar Zulkarnain atau Zulfadhli Zulkifli di jangka mampu mengisi posisi itu namun sejak kebelakangan ini prestasi mereka agak merundum.

Juara kebangsaan, Lim Chi Wing pula masih bergelut dengan pertandingan antarabangsa kerana selalu terkandas awal.

Leong Jun Hao pula baru saja memenangi pingat perak dalam Kejohanan Remaja Dunia yang beliau sertai pada tahun ini.

Jadi kami yakin jika diberikan latihan yang secukupnya dan baik, Lee Zii  Jia mampu menjadi pemain terbaik dunia sekurang-kurang nya 3 tahun dari sekarang.

Beri beliau masa dan teruskan menyokong pemain anda.

Jom kita lihat video permainan beliau ketika di atas gelanggang :

Baca juga : Tips Dan Strategi Badminton Perseorangan

RELATED ARTICLES

1 COMMENT

- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments