Tuesday, June 25, 2024
HomeHOKITNB Piala Tun Abdul Razak 2017 Menutup Tirai, Perak Juara Divisyen 1,...

TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 Menutup Tirai, Perak Juara Divisyen 1, Perlis Juara Divisyen 2

Malam tadi berlangsungnya perlawanan akhir TNB Piala Tun Abdul Razak 2017 yang menemukan Perak dan Terengganu bagi menentukan kejuaraan Divisyen 1. Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh.

Kedua-dua pasukan memberikan tentangan sengit sejak awal permainan. Corak permainan pantas ditunjukkan kedua-dua pasukan bagi mencari jaringan awal. Walaubagaimanapun tiada gol dapat dijaringkan sehingga penghujung separuh masa pertama walaupun kedua-dua pasukan mempunyai peluang melalui pukulan sudut penalti.

Hoki Perak Vs Terengganu

Muhammad Najib Abu Hassan akhirnya berjaya meledak gol pertama buat Perak beberapa saat sebelum tamat separuh masa pertama melalui gol padang. Najib yang bijak mencuri peluang diatas keadaan kelam kabut didalam kawasan D untuk menewaskan penjaga gol Terengganu Muhamad Hafizuddin bin Othman.

Sebaik bermulanya suku ketiga, Terengganu bertindak menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan. Usaha tersebut akhirnya berhasil selepas pemain kebangsaan, Faizal Saari bijak memperdayakan Roslan Jamauddin untuk gol penyamaan Terengganu pada minit ke-35.

Muhammad Haziq Samsul kembali meletakkan Perak dihadapan pada minit ke-53 melalui gol padang dan mejadikan kedudukan 2-1.Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Terengganu kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-56. Gol dijaringkan Faizal Saari melalui sepakan sudut penalti.

Hoki Perak Vs Terengganu2

Pada ketika pemenang perlawanan dilihat akan ditentukan melalui penalti ‘shoot out’, Hafifihafiz Hanafi menjadi wira buat Perak apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan melalui pukulan sudut penalti.

Jaringan tersebut meletakkan Perak sebagai juara untuk menjulang Piala Tun Razak 2017 sekaligus membawa pulang RM 10,000. Terengganu menerima hadiah berbentuk wang RM 7,000 selaku naib juara.

Hoki Perlis

Terdahulu, Perlis berjaya menewaskan Selangor 2-0 dalam perlawanan akhir Divisyen 2. Dua gol Azhad Akmal Mohd Fahmi mengesahkan kemenangan Perlis yang berjaya membawa pulang RM 5,000 sementara Selangor memperolehi RM 3,000 selaku naib juara.

Selaku juara, Perlis akan naik ke Divisyen 1 pada musim hadapan manakala pasukan Polis Di Raja Malaysia bakal turun ke Divisyen 2 selepas menghuni tangga tercorot Divisyen 1.

 

 

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments