Wednesday, June 19, 2024
HomeSEPAK TAKRAWPenang Black Panthers & Perak Bisons Bakal Tentukan Kejuaraan

Penang Black Panthers & Perak Bisons Bakal Tentukan Kejuaraan

Penang Black Panthers dan Perak Bisons bakal menentukan kejuaraan Sepak Takraw League (STL) Champions Cup malam Ahad nanti. Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi cemerlang menewaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir malam tadi.

Penang Black Panthers turun ke pentas separuh akhir menentang Kelantan Warriors bagi memastikan slot ke pentas akhir. Kelantan Warriors yang tampil ke STL Champions Cup atas tiket gantian setelah ada pasukan jemputan menarik diri gagal memberikan tentangan kepada Penang Black Panthers yang merupakan juara STL Premier.

Penang Black Panthers vs Kelantan Warriors

Penang Black Panthers yang menurunkan regu terbaik mereka membariskan Ahmad Syahir Rosdi yang merupakan pemain paling bernilai STL Premier 2017 selaku tekong dan dibantu oleh Farhan selaku ‘feeder’ manakala Azlan bertindak selaku ‘killer’.

Kelantan Warriors pula menampilkan Hisyam selaku tekong utama dan meletakkan ‘feeder’ terbaik STL Premier 2017, Aidil Aiman sebagai pengumpan untuk Naim yang menjadi perejam buat pasukan Kelantan Warriors.

Permainan agresif ditunjukkan Penang Black Panthers untuk mudah menewaskan Kelantan Warriors dalam perlawanan 2 set dengan mata 21-14 dan 21-15.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan naib juara STL Premier 2017, Perak Bisons bertemu dengan pasukan jemputan dari Thailand, Manang City Voyagers. Manang City yang tampil selaku juara kumpulan B dalam saingan awal tidak pernah tewas di peringkat kumpulan. Reputasi Manang City Voyagers selaku pasukan dari negara Gajah Putih amat digeruni setiap lawan yang berhadapannya.

Perak Bison menurunkan regu utamanya yang dibarisi Meor Zulfikar selaku tekong dan dibantu Izham sebagai ‘feeder’ dan ‘killer’ terbaik STL Premier 2017, Muhammad Fadzil Mustapha bagi menghadapi jaguh dari Thailand ini.

Manang City Voyagers pula menurunkan barisan yang berbeza berbanding regu di peringkat kumpulan apabila menurunkan Natthawut selaku tekong, Yothin sebagai ‘feeder’ dan Thanapon selaku ‘killer’. Mereka seperti biasa turun tanpa seorang pun pemain simpanan dalam perlawanan ini.

Perak Bisons

Manang City Voyagers yang dijangka memberikan tentangan sengit kepada Perak Bisons gagal menunjukkan aksi yang cemerlang apabila tewas 17-21 di set yang pertama. Perak Bisons yang mencari kemenangan di set kedua diberi tentangan melalui kebangkitan Manang City Voyagers. Tiga kali Manang City Voyagers menafikan mata akhir Perak Bisons yang akhirnya menang 23-21.

Perak Bisons bakal bertemu Penang Black Panthers dalam perlawanan akhir malam Ahad. Kedua-dua pasukan pernah bertemu minggu lalu dalam saingan peringkat kumpulan A dan perlawanan tersebut dimenangi Penang Black Panthers. Walaubagaimanapun perlawanan akhir pastinya akan memberikan aura yang berbeza buat Perak Bisons untuk lebih memberi tentangan kepada Penang Black Panthers.

Baca juga: STL Champions Cup: Kelantan Warriors Mengiringi Manang City Ke Separuh Akhir

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments