Tuesday, June 25, 2024
HomeHOKI4 Pasukan Mara Ke Separuh Akhir Piala Tan Sri P. Alagendra

4 Pasukan Mara Ke Separuh Akhir Piala Tan Sri P. Alagendra

Semalam berlangsungnya empat perlawanan suku akhir Piala Tan Sri P. Alagendra. Terengganu Hockey Team (THT), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) dan TNB Thunderbolt berjaya menempah tempat ke separuh akhir apabila cemerlang menewaskan lawan masing-masing.

THT 9-0 UITM-KPT

THT vs UITM

THT ternyata berada di dalam kelas yang tersendiri apabila berpesta gol ketika menundukkan  UITM-KPT dengan 9 gol tanpa balas. Ternyata kehadiran pemain import dari Argentina menambah bisa buat THT apabila dua daripada pemain import tersebut menjaringkan tiga gol dalam perlawanan tersebut. Pakar sudut penalti Argentina, Gonzalo Peillat meledak dua gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-45 dan 60 manakala Lopez Barreiros manjaringkan gol pembukaan pada minit ke-6 melalui gol padang.

Walaubagaimanapun Faizal Saari lebih mencuri tumpuan apabila menjaringkan lima gol dalam perlawanaan tersebut. Tiga daripada gol tersebut dihasilkan melalui gerakan padang pada minit ke-24, 34 dan 55 manakala dua lagi gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-49 dan 53. Satu lagi gol THT dijaringkan Muhammad Sufi Ismat melalui gol padang pada minit ke-14.

KLHC 2-1 TNB

KLHC vs TNB

Dalam satu lagi perlawanan KLHC melangkah ke separuh akhir apabila menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1. Gol KLHC dihasilkan oleh pemain import Korea Selatan, Jang Jonghyun yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-3 permainan. Muhammad Razie Abdul Rahim menggandakan kedudukan KLHC apabila juga menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-38.

TNB berjaya untuk mencuri satu gol menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang meledak pukulan sudut penalti pada minit ke-49 namun ianya sekadar gol saguhati. TNB terpaksa akur dan memberi laluan kepada KLHC untuk mara ke separuh akhir.

TNB Thunderbolt 5-3 Penang Hockey

TNB Thunderbolt vs Penang Hockey

TNB Thunderbolt bakal berdepan cabaran THT di peringkat separuh akhir apabila cemerlang menundukkan Penang Hockey 5-3 dalam perlawanan yang cukup dramatik. Muhammad Aliff Farhan Riduan membuka jaringan buat Penang Hockey seawal minit ke-3 menerusi pukulan sudut penalti.

Gol penyamaan TNB Thunderbolt akhirnya hadir pada minit ke-41 melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Arif Syafie Ishak. Suku keempat perlawanan menjadi sangat dramatik apabila enam gol dijaringkan kedua-dua pasukan.

Amir Farid Ahmad Fuzi memberi kelebihan buat TNB Thunderbolt apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-47 melalui jaringan padang. Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Penang Hockey menyamakan kedudukan melalui ‘penalty stroke’ yang disempurnakan Jiwa Mohan pada minit yang sama.

Mohd Sallehin Abdul Ghani kembali meltakkan TNB Thunderbolt di depan pada minit ke-50 melalui pukulan sudut penalty namun Jiwa Mohan sekali lagi menyamakan kedudukan empat minit selepas itu untuk mengikat kedudukan 3-3.

Walaubagaimanapun aksi kejar mengejar jaringan terhenti di situ apabila TNB Thunderbolt berjaya menambah 2 jaringan padang hasil jaringan Azril Misron pada minit ke-55 dan Amir Farid Ahmad Fuzi seminit sebelum permainan tamat untuk member kemenangan buat TNB Thunderbolt.

UniKL 6 – 0 MBPJ Tigers

UniKL vs MBPJ

UniKL melengkapkan empat pasukan ke peringkat separuh akhir selepas menundukkan MBPJ Tigers 6-0. Pesta buat UniKL bermula apabila Muhamad Hafiz Zainol membuat jaringan padang pada minit ke-9 sebelum menggandakannya pada minit ke-18.

Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menambah derita MBPJ Tigers apabila menambah lagi dua jaringan padang pada minit ke-23 dan 48. Satu gol melalui pukulan sudut penalti terhasil apabila disempurnakan Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-54 sebelum Faridzul Afiq Mohd melenkapkan kemenangan 6-0 UniKL pada minit ke-59.

Perlawanan peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 6 Januari 2018.

Baca juga: Piala Sultan Azlan Shah 2018 : Pakistan Sahkan Penyertaan Saat Akhir

RELATED ARTICLES
- Advertisment -

Most Popular

Recent Comments